Meneroka sejarah orang Chengdu
Dihantar Oleh hasani pada September 21 2011 09:55:37
18 September 2011 - Hari ke-4 saya di China. Pukul 6 pagi lagi kami dah berkumpul untuk bertolak ke lapangan terbang dan terbang ke Chengdu.
Saya sangkakan Chengdu adalah bandar yang kecil atau sederhana sahaja memandangkan lokasinya berada di bahagian barat China dan tidak seperti lain-lain bandaraya yang berada di sebelah timur dan selatan.
Tetapi bila kami mendarat, barulah saya sedar bahawa lapangan terbang antarabangsa Shuangliu itu tersangat besar untuk sebuah bandar kecil yang saya bayangkan.
Chengdu adalah sebenarnya ibu kota provinsi Sichuan di barat daya China dan punyai populasi lebih 5 juta orang di bandarayanya sahaja.
Ia adalah sebuah lagi bandar raya yang unik dan kaya dengan warisan kebudayaanya yang tersendiri.
Selepas makan tengahari di hotel, kami di bawa melawat ke Wu Hou Shrine yang menyimpan cerita tentang tokoh-tokoh dari kerajaan Shu yang merupakan kerajaan lama di wilayah ini pada abad ke-2 masehi.
Di sebalik kemodenan, Chengdu juga mengekalkan sejarah seperti yang dapat dilihat di Wu Hou Shrine yang menempatkan makam Jeneral Liu Bei yang memerintah Kerajaan Shu serta dewan untuk memperingati Zhuge Liang dan lain-lain menteri.
Tokoh-tokoh itu dipamerkan dalam bentuk ilustrasi patung dengan pakaian rasmi masing-masing pada ketika itu. Terdapat juga batu-batu bersurat yang mencatatkan kisah-kisah mereka.
Kisah sejarah mereka diwarisi zaman-berzaman walaupun Chengdu telah mencapai tahap bandar yang paling
maju di bahagian barat China.

Tinggalan bangunan-bangunan lama juga dapat dilihat di China Lane yang kini menjadi destinasi popular untuk bersantai. Lokasi itu mempunyai deretan bangunan-bangunan lama yang dijadikan pelbagai kedai dan restoran moden.
Mereka kata kehidupan di Chengdu sungguh tenang dan masa bagaikan berlalu dengan perlahan, orang di sini suka bersantai dengan minum teh di waktu petang.
Petang itu kami di bawa ke sebuah restoran Perancis yang terletak di China Lane untuk sesi pengenalan kepada bandaraya Chengdu dan sidang akhbar bersama wartawan tempatan. Dalam majlis itu juga, setiap wakil media menerima cenderahati berupa hasil seni para pelajar sebuah sekolah rendah di sini.
Sebelah malamnya, kami makan malam di Chengdu Impression, sebuah restoran yang juga terdapat di China Lane, sambil dihiburkan pertunjukan opera Sichuan.
