Selepas sampah, Selangor idam Syabas!
Dihantar Oleh ilukman pada July 26 2012 14:57:01
.jpg)
Krisis bekalan air ditangguk oleh kerajaan Selangor untuk mengambil alih Syabas.
KERAJAAN Selangor di bawah pakatan pembangkang tidak putus-putus berusaha untuk memiliki Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Malah sejak awal pemerintahan kerajaan pimpinan 3P - PKR, Pas dan DAP itu, mereka sudah merancang untuk menguruskan sendiri bekalan air di Lembah Klang, dengan alasan ia kini diurus oleh syarikat milik kroni UMNO serta mengenakan caj yang tinggi terhadap pengguna.
Usaha kerajaan negeri itu mahu menguruskan bekalan air sendiri tanpa melalui syarikat swasta itu sama sepertimana usaha mereka "merampas" kerja-kerja pengurusan sampah yang sebelum ini diuruskan oleh syarikat Alam Flora.
Dengan kuasa politik yang mereka miliki, akhirnya Alam Flora melepaskan tugas pembersihan kawasan, taman-taman, tanah perkuburuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu pada 1 Ogos 2011 serta pengurusan sampah domestik pada Februari tahun ini.
Ekoran penamatan kontrak pengurusan sampah Alam Flora itu, Selangor tiba-tiba dilanda masalah sampah yang kronik. Sampah-sampah domestik tidak diangkut selama berhari-hari malah ada yang berminggu-minggu. Keadaan di Selangor tiba-tiba berubah daripada sebuah negeri yang bersih, bertukar menjadi kotor dan busuk ekoran longgokan sampah tidak diangkut di mana-mana.
Sehinggakan suatu ketika saya melalui satu lorong belakang di sebuah deretan premis perniagaan di sebuah taman di Ampang, terdapat longgokan sampah yang hampir mencecah satu tingkat bangunan. Tidak sahaja itu, rakyat Selangor juga mula menjerit apabila tong-tong sampah sudah berulat, berbau busuk dan menjijikkan kerana tidak diangkut.
Banyak yang melihat punca masalahnya ialah dalam soal pelantikan syarikat untuk menguruskan kutipan sampah, yang kini di bawah seliaan PBT di daerah dan perbandaran masing-masing. Mereka melantik syarikat-syarikat kroni Ahli-ahli Majlis, kroni parti-parti Pas, PKR dan DAP yang sebenarnya tidak mempunyai lori-lori pengangkut sampah dan pekerja yang mencukupi.
Selepas gagal menguruskan sampah dengan lebih baik berbanding kendalian pihak swasta, kerajaan Selangor mahu mengambil alih pula pengurusan Syabas.
Sedangkan kalau diteliti dengan sebenar-benarnya, tiada cacat celanya pengurusan air di Lembah Klang di bawah pengurusan Syabas sejak 1996. Malahan syarikat itu telah berjaya meningkatkan kualiti air kepada pengguna selepas kerja-kerja penukaran paip di samping bekalan air yang mencukupi untuk keperluan pengguna menerusi loji-loji rawatan air yang diuruskan.
Lalu kenapa kerajaan Selangor begitu beria-ia mahu mengambil alih pengurusan air daripada Syabas?
Alasan Syabas menekan rakyat dengan menaikkan kadar perkhidmatan adalah tidak munasabah kerana kalau diteliti kenaikan tersebut masih di tahap berpatutan berbanding perkhidmatan dan kualiti air yang disediakan.
Malahan sejak akhir-akhir ini, kerajaan Selangor menggunakan alasan kekurangan bekalan air terawat sehingga memaksa Syabas mencatu air juga tidak masuk akal. Ini kerana amaran bahawa Lembah Klang bakal menghadapi masalah bekalan air terawat sudah diberikan sejak 2007, malahan dijangka ia mengalami kritis teruk menjelang 2014 jika tindakan segera tidak diambil.
Ekoran jangkaan tersebut kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan Selangor pada masa itu (di bawah kerajaan Barisan Nasional) mengusulkan cadangan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat yang dinamakan Projek Langat II.
Bagaimana pun, sejak pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor, cadangan projek tersebut telah digagalkan dan sehingga kini Langat II terus dijadikan modal politik mereka untuk memburuk-buruk kerajaan Pusat yang mendakwa projek tersebut membebankan rakyat Selangor, sedangkan sebahagian besar kos bagi projek itu ditanggung oleh kerajaan Pusat.
Tidak cukup dengan itu, jangkaan Lembah Klang bakal mengalami krisis bekalan air yang teruk menjelang 2014 juga dijadikan modal politik yang mendakwa ia sebahagai pembohongan kerajaan BN untuk menakut-nakutkan rakyat di negeri ini semata-mata mahu meraih undi.
Nah, bila krisis itu mula dirasakan sekarang, kerajaan Selangor sebaliknya menyalahkan pengurusan Syabas yang didakwa tidak cekap sehingga timbul masalah tersebut. Malahan ia kini menjadi "modal besar" untuk Selangor mengambil alih Syabas - suatu yang diidam-idamkan sejak sekian lama.
Saya membayangkan, andai usaha Selangor mengambil alih pengurusan air daripada Syabas, nescaya akan ramai kroni-kroni parti khususnya DAP menanti dengan mulut ternganga luas untuk melahapnya.