|
BEKAS pelumba Formula 1, Alex Yoong berhak untuk berkecil hati terhadap Petronas yang memilih untuk tidak menaja pasukan Lotus F1 Racing. Syarikat pengeluar minyak negara itu sebaliknya, memilih untuk menaja pasukan Mercedes GP.
Keputusan Petronas itu memang menghairankan pemerhati setelah ia membayangkan tidak terlibat dengan mana-mana pasukan pada musim F1 2010 ini berikutan penarikan diri pasukan BMW yang ditajanya sebelum ini.
- Malah, jika mengikut hukum akal, sebagai syarikat milik kerajaan Malaysia, Petronas sewajarnya menaja pasukan Lotus yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia atau sekurang-kurangnya pasukan Sauber, yang mana ia telah terlibat di peringkat tertinggi lebih sedekad.
- Pelantikan Alex bagi mengetuai program pembangunan pemandu Lotus, secara sendirinya menggambarkan kesungguhan kerajaan Malaysia supaya segala proses pasukan kereta lumba F1 Lotus ini, dibarisi oleh anak tempatan. Lotus adalah sebuah jenama kereta sports yang dimiliki oleh Proton. Dan tentunya Petronas diharapkan menambahkan lagi keserian nilai Malaysia.
- Daripada satu sudut, apakah keputusan Petronas ini boleh dilihat sebagai strategi serampang dua mata oleh kerajaan Malaysia? Ini memandangkan Petronas dalam hal membabitkan pelaburan besar, tidak semudah itu untuk membuat keputusan bersendirian. Apakah ini cara kerajaan memastikan nama Malaysia akan terkibar megah pada dua entiti yang diwakilinya iaitu pasukan khusus Malaysia menerusi Lotus F1 Racing dan pasukan tajaan Petronas menerusi Mercedes GP?
- Atau apakah ia semata-mata keputusan berasaskan perniagaan? Secara tidak langsung, pertalian perniagaan dalam F1 oleh sesebuah syarikat minyak dengan pasukan lumba, kemudiannya diterjemahkan dalam perniagaan sebenar. Lihat sahaja hubungan Petronas dengan pasukan BMW, di Malaysia semua pusat servis BMW menggunakan minyak keluaran Petronas. Bila BMW menarik diri, satu cara bagi menampung jurang itu ialah mendapatkan lagi sebuah jenama kereta mewah Jerman iaitu Mercedes-Benz.
- Setakat ini, belum ada sesiapa daripada pihak kerajaan ataupun Petronas tampil menjelaskan kejengkelan ini.
- Sehingga itu, kita wajar bersimpati dengan Alex Yoong dan berkongsi rasa kecil hatinya.
|
|
Last Updated on Tuesday, 05 January 2010 18:27 |
Comments
jangan ler berkecil hati.....rezeki dimana....buktikan dulu lotus f1 boleh berjaya....
RSS feed for comments to this post.