Login

Online

None

Avatar
Ujian Tuhan di bulan RamadanPDFPrintE-mail
Saturday, 26 September 2009 20:36
Written by JOHARDY IBRAHIM

Sehari sebelum pulang ke kampung minggu lepas, penulis diuji Tuhan dalam perihal pemotoran. Tidaklah membabitkan kemalangan. Ia bermula dengan kenderaan yang saya pandu. Pakai bateri kering (tidak perlu mengisi air). Rupa-rupanya sifat bateri kering ialah bila ia hendak mati, ia tidak memberi apa-apa isyarat. Berbanding dengan bateri air, sehari dua sebelum itu kita diberi amaran bila susah hendak menyalakan enjin. Bateri kering terus mati. Begitu saja!...

 Bila ini berlaku, panik juga dibuatnya. Ini kerana bila penulis hendak ke pejabat, masa yang diambil ialah jitu iaitu 40 minit sebelum shif bermula. Kena pula kawasan kejiranan semua di pejabat, maka terpaksalah menelefon mekanik untuk datang mengangkut bateri. Bila guna kaedah ini, jangan haraplah boleh mendapat diskaun. Kena caj RM50 upah datang pula ada!

Nak jadi cerita panjang, selepas bateri baru dipasang - penggera keselamatan pula terus berbunyi, memaksa penulis mencabut sambungan supaya bunyi tiada. Kemudian, penulis kena bawalah kembali ke kedai aksesori di Seksyen 19, Shah Alam. Apabila diperiksa oleh juruteknik, mereka merasakan alat penggera sudah rosak. Ia perlu dikembalikan kepada pengeluar. Maka kenderaan penulis sekarang bergerak tanpa perlindungan penggera.

Semua benda ini berlaku menuju ke waktu berbuka dan lebih mencabar apabila hujan turun selebat-lebatnya. Sesudah membeli juadah berbuka, penulis pun memulakan perjalanan pulang dari Seksyen 19 menuju ke Seksyen 7. Jam pada kereta menunjukkan 6.15 petang. Sempat lagi, bisik hati.

Membelok sahaja menuju ke jalan utama, penulis terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ini kerana polis menutup laluan di bulatan Seksyen 15. Tiba-tiba terasa stereng roda berat ke kiri. Alamak... sesuatu sudah berlaku pada tayar. Ia kemudiannya disahkan oleh seorang pemandu yang menunjukkan tayar kiri hadapan. Tarik nafas perlahan-lahan. Hendak berhenti tidak boleh kerana kesesakan jalan. Dan kalau tidak sesak pun, agak sulit hendak menukar tayar dalam hujan lebat.

Maka diseretlah kereta menuju ke Seksyen 16 dan terdapat bengkel dalam stesen minyak di situ. Belum pun habis mekanik menukar tayar, azan di masjid sebelah pun bergema. Bila tiba di rumah, jam sudah 7.30 malam dan penulis memohon maaf kepada ahli keluarga kerana lewat pulang bersama juadah makanan.

Sepanjang minggu ini, cuaca begitu elok sekali malah, sedikit panas. Ini semua ada rahmatnya! Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca setia Utusan Malaysia. Periksa kereta sebelum bergerak jauh terutama bila hendak menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang jauh-jauh.



( 1 Vote )
Last Updated on Saturday, 26 September 2009 20:38
 

Sila Login atau Register untuk komen

 

IKLAN@UTUSAN

Polls

Apakah komponen interaktif yang anda inginkan di Utusan Online?