PADA Ogos lalu, kerajaan Jerman melancarkan kempen untuk menghasilkan sejuta kereta elektrik menjelang 2020, menjadikan penyelidikan ke atas bateri sebagai keutamaan, dalam usaha negara itu menjadi peneraju pasaran.
Program berkenaan, yang menyaksikan Jerman memperuntukkan 500 juta euro (RM2.5 bilion) dalam pakej rangsangan ekonomi awal tahun ini.
Menteri Ekonominya, Karl-Theodor zu Guttenberg berkata, sasaran satu juta menjelang 2020 adalah sasaran yang tinggi tetapi pihaknya yakin ia boleh direalisasikan. Jerman kini memiliki lebih 41 juta kereta di atas jalan tetapi hanya 1,452 daripadanya adalah kereta elektrik.
Langkah kerajaan Jerman itu menyusuli inisiatif pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang mengumumkan dana AS$2.4 bilion (RM8.4 bilion) untuk membangunkan kenderaan elektrik dan bateri generasi akan datang.
Syarikat-syarikat automobil di Asia tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi elektrik itu.
Awal Ogos lalu, Nissan Motor Co. melancarkan Leaf, kereta elektrik yang boleh dipandu sejauh 160 km menggunakan bateri yang dicaj sekali dan dijadual untuk pengeluaran besar-besaran bagi pasaran global pada 2012.
Pada Jun lalu, Mitsubishi Motors Corp. melancarkan i-MiEV yang dijual pada harga AS$48,300 (RM169,050).
Selain itu, syarikat kereta China, Dongfeng Motor Corp. menjalin kerjasama dengan firma Belanda untuk membangun dan menghasilkan kenderaan elektrik.
Di Amerika Syarikat, General Motors Co. mengumumkan akan melancarkan jualan Chevrolet Volt iaitu kenderaan elektrik yang bateri boleh dicaj semula pada tahun hadapan.
Volkswagen AG pula menyatakan ia berharap boleh menghasilkan kereta elektrik pertamanya ke pasaran pada 2013, manakala Daimler AG sedang bekerjasama dengan pembuat kereta elektrik berpusat di California, Tesla Motors Inc. bagi membangunkan bateri yang lebih baik dan system pemanduan elektrik bagi kenderaan untuk pasaran umum.
Daimler dan firma utiliti RWE AG merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik yang dibangunkan bersama dan ujian stesen mengecas bateri di Berlin pada akhir tahun ini.
|