|
DENGAN menetapkan penanda aras baru dalam penawaran SUV mewah yang bergaya dinamik dan selesa, beserta dengan keupayaan off-road yang luar biasa, Mitsubishi Motors Malaysia, pengedar eksklusif kenderaan penumpang dan komersial Mitsubishi Motors di Malaysia baru-baru ini secara rasminya melancarkan SUV serba baru Mitsubishi Pajero Sport.
Berharga RM158, 609.80 (tanpa insurans), Mitsubishi Malaysia berazam untuk menjual 500 unit Pajero Sport, yang diimport sepenuhnya, sehingga akhir tahun ini.
Menggunakan sistem suntikan terus Common Rail bagi kuasa dan kecekapan bahan api yang lebih tinggi, Pajero Sport dilengkapi dengan enjin diesel 2.7 liter yang memberikan kuasa output mencecah 136PS pada 3,500rpm dengan kuasa terjahan maksimum 314Nm pada 2,000 rpm.
Pajero Sport yang mencapai pelbagai ciri-ciri kekuatan dan kualiti model Pajero, iaitu model utama kenderaan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi dengan SUV Outlander yang bergaya dan sporty, menawarkan lebih daripada apa yang mampu diberi oleh SUV lain dalam kelasnya.
Misalnya, ia menawarkan ruang penumpang yang luas dan selesa, ruang kargo yang lapang, pelbagai ruang penyimpanan, dan pada masa sama, tetap berupaya memberikan prestasi dan keselamatan berkualiti, dan boleh dipercayai.
"Pajero yang merupakan satu legenda, mempunyai peminat yang ramai di Malaysia dan kami yakin bahawa Pajero Sport serba baru ini akan menjadi pilihan mereka yang mahukan SUV yang elegan dan bergaya tetapi rugged dengan keupayaan off-road untuk kegunaan tugas berat," kata Keizo Ono, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia.
"Mitsubishi Motors telah berada di barisan depan dalam merintis pembangunan teknologi 4x4 dunia selama lebih 70 tahun. Kami melancarkan Pajero pada 1982 dan hingga ke hari ini pun, generasi keempat Pajero terus menjadi penanda aras bagi teknologi dan kejituan 4x4.
"Populariti Pajero Sport bermula daripada rekod lagenda Pajero yang telah terbukti. Reka bentuk garisan luarannya yang dinamik dan sporty disokong oleh faktor-faktor kekuatan prestasi, kawalan dan teknologi-teknologi keselamatannya.

|
|
KENDERAAN ini mampu membawa tujuh penumpang dengan selesa.
|
"Pajero Sport telah menerima sambutan yang hebat sejak pelancaran di peringkat global di Moscow tahun lalu. Hingga hari ini, lebih 9,000 unit Pajero Sport telah dijual di seluruh dunia sejak September tahun lalu," kata Ryujiro Kobashi, Naib Pengurus Besar Korporat Pejabat ASIA dan ASEAN, Mitsubishi Motors Corporation of Japan.
Tiga baris kerusi Pajero Sport yang boleh memuatkan tujuh penumpang, boleh diubah kedudukannya bagi mengisi barangan.
Kerusi bersarung kulit dan sistem audio visual DVD dengan sambungan USB, iPod dan Bluetooth ditawarkan sebagai ciri standard dalam Pajero Sport.
Turut dilengkapi dalam Pajero ini, aturan pemanduan Super Select 4WD (SS4) yang menggabungkan prinsip-prinsip falsafah All Wheel Control (AWC) Mitsubishi Motors yang menyalurkan kuasa terjahan pemanduan berkesan empat roda pada semua bentuk permukaan. Dengan SS4, menukar antara 4WD dan 2WD semasa memandu boleh dilakukan.
Pajero Sport kini boleh didapati di semua bilik pameran Mitsubishi Motors. Warna yang ditawarkan ialah Eisen Gray Mica, White Pearl, Cool Silver Metallic, Dark Blue Mica dan Platinum Beige Metallic.
Pembeli akan mendapat waranti tiga tahun atau 100,000 km perjalanan. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melawat www.mitsubishi-motors.com.my.
|