Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Perairan Johor kini hanya boleh dinikmati penyelam 'kaya' sahaja

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Perairan Johor kini hanya boleh dinikmati penyelam 'kaya' sahaja






Surat di atas yang mula tersebar dalam kalangan komuniti penyelam skuba tempatan pada laman-laman sosial sudah mula menimbulkan keresahan. Manakan tidak, bermula bulan hadapan, setiap daripada mereka bakal dikenakan bayaran RM200 seorang sehari untuk menyelam di Taman Laut Sultan iskandar (TLSI) yang terdiri daripada gugusan Pulau Sibu, Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.


Malah keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat pada satu sidang akhbar selepas perasmian sidang Dewan Undangan Negeri, oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertempat di Bukit Timbalan, Johor Bahru.


Apa yang mengejutkan ialah tindakan drastik untuk mengenakan caj konservasi terlalu tinggi bagi penyelam skuba untuk membolehkan mereka menyelam di keenam-enam pulau berkenaan. Caj konservasi berkenaan menurut Ayub adalah bagi membolehkan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) membiayai program pemulihan hidupan marin dan biologi, termasuk penyelidikan serta program pendidikan bagi memastikan kesinambungan nilai mencapai pengiktirafan pengurusan cemerlang.


Sepanjang tahun lalu, seramai 256,695 pelancong mengunjungi TLSI menggunakan dua pintu keluar iaitu Jeti Mersing dan jeti Tg. Leman.


Saya terduduk seketika melihat surat berkenaan termasuk keputusan yang dibuat. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Ini berikutan, gugusan pulau-pulau berkenaan sebelum ini memang menjadi tumpuan penyelam skuba terutama di Pulau Pemanggil, Pulau Aur dan Pulau Tinggi namun ia tidaklah dapat menandingi kepulauan di Pantai Timur yang lain termasuk Pulau Tioman di Pahang dan Pulau Tenggol, Redang, Kapas dan Perhentian. 


Menurut Ayub, keputusan itu adalah dari titah baginda Sultan Ibrahim yang mahukan agar gugusan kepualan itu dipulihara. Malah selepas ini bermula bulan depan, hanya 100 penyelam skuba dibenarkan untuk memasuki setiap pulau yang sudah digazetkan itu.


Pada saya RM200 seorang sehari adalah terlalu tinggi dan kemungkinan pulau-pulau berkenaan akan mula sepi daripada penyelam skuba tempatan. Ini berikuta, ia membabitkan banyak perkara, antaranya:


 


1. Caj menyelam skuba sehari ke pulau berkenaan sudah sedia ada tinggi


2. Perjalanan ke pulau yang menawarkan pemandangan terbaik antara gugusan enam pulau berkenaan memakan masa sehingga 4 jam perjalanan menaiki bot kayu (lebih murah) atau 2 jam (bot laju dengan caj yang amat mahal)


3. Jarak kebolehlihatan (visibility) di pulau-pulau berkenaan tidaklah setara dengan pulau-pulau lain di Pantai Timur


4. Arus laju di kebanyakan pulau-pulau berkenaan tidak memberikan kenikmatan menyelam bagi penyelam skuba baru


5. Tidak banyak pusat selam skuba yang 'mesra penyelam skuba Malaysia' ekoran kebanjiran penyelam skuba negara jiran bertandang ke situ


 


Jadi, dengan halangan-halangan tersebut termasuk dikenakan caj RM200 seorang sehari, saya beranggapan, pulau-pulau berkenaan akan sepi daripada kelibat penyelam skuba tempatan.

Malah kemungkinan juga penyelam skuba dari negara jiran terutama Singapura walaupun RM200 atau SDG$77.60 dilihat kurang membebankan, namun jika sudah tiga hari berada di sana, ia adalah satu pembaziran.


Lebih memburukkan keadaan, Pulau Sipadan, yang merupakan 10 pulau terbaik di DUNIA dan terkenal dalam kalangan penyelam skuba antarabangsa dan tempatan hanya mengenakan caj konservasi RM40 sehari seorang serta menghadkan 120 penyelam skuba dalam sehari.

Sementara Pulau Mabul Kapalai, Mataking, Sibuan dan Taman Laut Sakaran Dandai yang lain tidak mengenakan sebarang caj konservasi dan had penyelam.


Pulau-pulau berkenaan kalau nak dibezakan dengan gugusan pulau di Johor boleh saya katakan antara langit dan bumi.


Mungkin ada yang mengatakan, perbandingan itu perlulah dilakukan dengan yang setara. Okay, cuba kita bandingan gugusan Pulau Sibu, Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar dengan Pulau Tioman, Tenggol, Redang, Perhentian dan Pulau Kapas.


Saya tak perlu ulas di sini, hanya mereka yang sudah merasai keindahan dan kehebatan kepelbagaian spesies flora dan fauna dasar laut pulau-pulau di Pantai Timur hanya dapat memberikan kata putus.


Apa pun, saya tidak mahu bertelagah waima mahu menderhaka kepada titah Sultan Johor. Biarlah saya memikirkan ia dari sudut positif sahaja. Sifir logik yang boleh saya ketengahkan ialah, kurang orang, pulau tidak akan tercemar dan habitat serta spesies marin akan bertambah dengan banyak.


 


Ampun Tuanku, patik memohon ampun kurnia daripada Tuanku jika Tuanku murka ekoran patik menderhaka kepada titah Tuanku berkenaan caj pemuliharaan Taman Laut Sultan Iskandar sehingga RM200 sehari seorang.


Ampun Tuanku, untuk makluman Tuanku, caj berkenaan sedikit sebanyak bakal membunuh industri selam skuba terutama di Johor. 


Apalah kiranya Tuanku dapat mengurangkan sedikit bayaran caj konservasi berkenaan agar pacal-pacal yang hina ini dapat menikmati keindahan kepulauan di negeri jajahan takluk Tuanku. Ampun Tuanku 


Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:

Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook