Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Wanita UMNO hilang arah

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Wanita UMNO hilang arah



JIKA boleh dijadikan angka satu hingga 10 sebagai ukuran, mungkin ramai yang bersetuju bahawa untuk meletakkan pencapaian Wanita UMNO ditahap cukup makan iaitu lima pada ketika ini pun agak sukar. Malah ada di antara mereka tanpa teragak-agak mengatakan pergerakan yang pernah suatu ketika dahulu ini digeruni kawan dan lawan, hanya layak mendapat markah kurang daripada itu.



Pendapat ini jika benar, hakikatnya bukan lagi sesuatu yang amat membimbangkan tetapi terlalu menakutkan. Bayangkan apa jadi kepada UMNO jika sayap terpenting parti itu semakin `tidak berdaya' di dalam perjuangannya.



Sejarah Wanita UMNO cukup panjang. Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai seperti tercatat dalam sejarah tanah air sebenarnya bukan satu usaha mudah. Terlalu banyak cabaran dan liku perlu diharungi. Segalanya demi ibu pertiwi.



Benar, tidak semua pemimpinnya cemerlang tanpa kontroversi. Tan Sri Rafidah Aziz umpamanya walaupun wujud beberapa isu yang `menyelubunginya', namun beliau terbukti mampu membawa suara wanita ke kedudukan sewajarnya.



Ketegasan dan keberaniannya mencabar mana-mana pihak yang mempertikaikan pergerakan diterajuinya, tidak dapat dinafikan. Ini diakui sesiapa sahaja.



Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman juga tidak lari daripada kontroversi.



Kepimpinan yang diwarisi hasil daripada percaturan melawan ketua (Rafidah), biarpun menghadapi banyak tekanan, berjaya diharungi dengan baik. Malah, tempoh sepenggal dipilih sebagai peneraju, tidak menghalangnya melakukan beberapa anjakan baharu. Puteri UMNO diwujudkan ketika era kepimpinannya.



Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ini turut berjaya membawa Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen biarpun dalam situasi genting pada pilihan raya umum tahun 1999 berikutan krisis pemecatan jawatan Timbalan Presidennya (Anwar Ibrahim).



Kelibat Wanita UMNO sering menjadi mimpi ngeri kepada parti lawan setiap kali menjelang pilihan raya. Ini kerana kesungguhan ahlinya yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah. Apa yang penting bagi mereka adalah memastikan UMNO kekal sebagai parti tonggak atau tulang belakang kepada BN.



Sukar menafikan bahawa kejayaan pergerakan ini adalah atas dasar kesedaran para pemimpinnya akan tanggungjawab mengalas amanah. Meskipun banyak onak dan duri dilalui sepanjang perjalanannya, mereka masih tidak lupa untuk meletakkan matlamat perjuangan di landasan yang sewajarnya di dalam UMNO.



Dan apa yang seharusnya direnungkan adalah walaupun hampir pada setiap era kepimpinan wujud pergolakan dalaman atau kepimpinan, namun soal kepercayaan atau persepsi rakyat masih mampu dijana dengan baik.



Sebagai tulang belakang UMNO, suka atau tidak, pemimpin-pemimpin ini berjaya bertindak sebagai pengemudi untuk menawan hati pengundi supaya terus memberikan sokongan mereka terhadap parti keramat orang Melayu ini.



Dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin terdahulu, nasib Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO setelah menewaskan Rafidah pada tahun 2009 dilihat kurang menyebelahinya.



Selain menang dengan majoriti 227 undi dalam pemilihan parti selepas berlaku tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen selain kejatuhan empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah ke tangan pembangkang, seolah-olah tiada kejayaan lain yang boleh dibanggakan.



Hakikatnya, beliau dilihat sebagai ketua yang malang disebabkan beberapa isu selain gagal membuktikan peranan Wanita dalam usaha memastikan UMNO menang setidak-tidaknya dua pertiga kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum lalu (PRU-13).



Lebih malang, isu-isu tersebut disifatkan sebagai `senjata makan tuan' kerana menjadi modal politik kepada pihak lawan untuk melemahkan UMNO.



Dalam hubungan ini, Shahrizat perlu melakukan sesuatu untuk meletakkan kembali kedudukan Wanita UMNO ke landasan yang sebenarnya. Wanita UMNO diwujudkan sebagai perisai kepada perjuangan UMNO dan bukan sebaliknya.



Kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi akan menjawab segala persoalan dan kecelaruan yang berlaku. Dan sebagai ketua, terpulang kepada Shahrizat untuk meletakkan bagaimana dirinya mahu dikenang.

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:

Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook