Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Benarkah Pas kuat?

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Benarkah Pas kuat?



Pelbagai reaksi diberikan bagi menjawab laporan yang dipetik oleh Utusan Malaysia daripada blog pro pembangkang sendiri. Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar tidak semena-mena mengaitkan laporan berkenaan dengan apa yang disifatkan oleh beliau `politik najis UMNO' manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap `ia mengarut'.



 Memanglah pemimpin-pemimpin Pas akan melompat kerana jika laporan itu benar, ia sudah tentulah akan memberi tamparan yang hebat kepada parti tersebut kerana ia jelas menunjukkan DAP akan menjadi dominan dalam pakatan pembangkang.



 Tetapi sama ada DAP bertanding 90 kerusi atau tidak, yang pasti Pas tetap tidak akan dominan kerana jika pembahagian kerusi dikekalkan seperti mana pilihan raya umum 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah di dalam dan luar parti akan menjadi tonggak utama.



Untuk rekod pada tahun 2008, PKR bertanding 97 kerusi, DAP (47 kerusi) dan Pas (66 kerusi). Daripada jumlah itu PKR menang 31 kerusi, DAP (28 kerusi) dan Pas 23 (kerusi).



Oleh itu agak melucukan apabila dalam kenyataan terbarunya mengulas isu pembahagian kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa parti itu paling kuat dalam pakatan pembangkang.



``Pas parti paling kuat dalam Pakatan Rakyat. Kita mungkin akan bertanding sehingga 80 kerusi, DAP 50 atau 60 kerusi dan daripada jumlah itu pula, mereka (DAP) mungkin menang 40 atau 50 kerusi, dengan jumlah kerusi yang dimenangi sebanyak itu, DAP tidak boleh membentuk kerajaan kerana yang menjadi tulang belakang PR ialah Pas, parti Melayu Islam,'' hujah Abdul Hadi di Kuala Terengganu.



Malahan Abdul Hadi juga berhujah, tanda kekuatan Pas ialah parti itu mempunyai banyak jentera dan sedia untuk bertanding di kawasan yang tidak sanggup ditandingi oleh PKR dan DAP.



Sebelum Presiden Pas itu mencapai cita-cita besarnya itu, beliau perlu menjawab beberapa persoalannya terlebih dahulu. Pertama, benarkah Pas kuat dalam pakatan pembangkang? Kedua, daripada mana Pas hendak mencukupkan jumlah 80 kerusi sedangkan sebelum ini Pas bertanding 67 kerusi sahaja? Ketiga, adakah jentera Pas sememangnya disediakan untuk memenangi calon parti itu atau sekadar menjadi `kuda tunggangan bagi memenangi calon PKR dan DAP nama kesepakatan.



Untuk persoalan pertama, semua orang tahu sejauh mana suara Pas dalam pakatan pembangkang. Ketika ini Pas hanya nampak sedikit berkuasa di Kedah dan Kelantan sahaja tetapi di Selangor dan Pulau Pinang serta di peringkat nasional, Pas tiada suara apa-apa untuk menegur sebarang tingkah laku PKR dan DAP.



Malahan ada yang mentafsirkan biar pun Pas turut menyumbang kejayaan cemerlang kepada DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor, parti itu dilayan tidak ubah seperti melukut di tepi gantang sahaja.



 Sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tidak mampu memberi nasihat kepada DAP atau PKR untuk melaksanakan pentadbiran bercirikan Islam. Tamparan paling hebat ialah di Selangor, apabila Pas tidak boleh berbuat apa-apa bagi menghalang penjualan arak di kedai serbaneka, biar pun pada asalnya arahan penjualan minuman keras itu diputuskan oleh Exco kerajaan negeri daripada Pas sendiri.



Selain itu, Pas juga dilihat hanya menutup mata terhadap satu demi satu kepincangan yang berlaku dalam kerajaan negeri pimpinan pembangkang terutamanya di Selangor. Tiada desakan supaya siasatan rapi dijalankan bagi melambangkan ketelusan Pas berdiri atas landasan yang benar itu benar dan yang salah itu salah.



Kita juga tertanya-tanya dari sudut apakah Abdul Hadi mengatakan Pas kuat dalam pakatan pembangkang. Kalau Pas kuat sudah lama DAP dan PKR tidak akan memperkotak-katikkan parti itu terutamanya dalam soal perjuangan Islam Pas.



 Tetapi apa yang kita lihat, Pas hanya lebih banyak berkorban demi menjaga hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan, kalau Pas kuat sudah pastilah mereka tidak berundur dengan matlamat memperjuangkan negara Islam.





 Begitu juga apabila timbul banyak isu berkaitan dengan pemimpin-pemimpin PKR, di manakah `kekuatan Islam’ Pas untuk menegakkan kebenaran?





 Kenapakah Pas hanya kuat untuk berkata, apa yang berlaku adalah konspirasi politik? Kenapakah Pas tidak ada kekuatan untuk meminta satu siasatan rapi dijalankan bagi membolehkan kebenaran ditegakkan?





 Bagi persoalan kedua pula, penulis tertanya-tanya kawasan manakah yang akan Pas tandingi sehingga memungkinkan mereka bertarung di 80 kerusi. Pada tahun 2008, Pas hanya bertanding 66 kerusi maknanya untuk pilihan raya akan datang Pas perlu mencari tambahan 14 kerusi.





 Kuota siapa yang Pas akan ambil? Apakah daripada PKR? Sanggupkah parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengizinkan Pas berbuat demikian? Atau beranikah Pas membuat tuntutan semula ke atas kerusi-kerusi yang sebelum ini diserahkan kepada PKR atas nama kesepakatan?





 Kalau Pas bertanding 80 kerusi, bolehkah mereka memenangi kerusi lebih banyak daripada PKR dan DAP, sedangkan sejarah politik Pas menunjukkan parti itu tidak pernah menang lebih daripada 30 kerusi Parlimen dalam pilihan raya.





 Untuk persoalan ketiga, tidak dapat dinafikan bahawa semangat perjuangan penyokong-penyokong Pas amat tinggi, apatah lagi dalam musim pilihan raya. Tetapi apakah kekuatan jentera yang dikatakan oleh Abdul Hadi benar-benar memberi manfaat kepada Pas?





Atau ia sekadar menjadi alat kepada PKR dan DAP untuk memperkudakan jentera Pas dalam pilihan raya.





 Kekuatan jentera DAP mungkin kita boleh akui tetapi bagaimana dengan jentera PKR? Semua orang tahu selama ini PKR bukan sahaja bergantung kepada jentera Pas dalam pilihan raya malahan dalam soal kehadiran di ceramah-ceramah pun, PKR mengharapkan kehadiran penyokong Pas. Kalau mereka tidak datang percayalah, ceramah PKR akan sunyi sepi.





 Dalam soal keberanian Pas untuk bertanding di kerusi yang tidak sanggup ditandingi oleh PKR dan DAP pula, ia menunjukkan bahawa Pas tidak mempunyai strategi politik yang betul bagi menggunakan kekuatannya.





 Memanglah PKR dan DAP tidak akan bertanding di kawasan yang mereka tahu pada hari penamaan calon pun sudah kalah. Oleh itu kalau Pas hendak menunjukkan keberanian luar biasa dengan bertanding di kawasan berkenaan sudah pasti mereka akan mengalu-alukannya.





 Ia kerana yang akan rugi bukannya PKR atau DAP tetapi Pas. Bagi kedua-dua parti berkenaan mereka tentu gembira kerana Pas bersedia menjadi `pak sanggup' bagi memastikan BN tidak menang percuma di mana-mana kawasan.



 Oleh itu dalam menilai kenyataan Abdul Hadi mengenai kekuatan Pas terlalu banyak persoalan yang perlu beliau jawab dan paling penting memberi pemahaman bahawa kekuatan Pas bukan untuk memenangkan pihak lain, kerana selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang selagi itu parti itu berada di posisi `paling kuat' untuk menang sorak kampung tergadai!

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:

Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook