Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Hubungan benci tapi rindu tiada kesudahan

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Hubungan benci tapi rindu tiada kesudahan



BERITA malam kelmarin memaparkan kedutaan Malaysia di Jakarta ‘diserang’ buat kesekian kalinya. Seketul batu besar dilempar, manakala pagar hadapan dirosakkan. Laporan menyebut perusuh memasuki ruang di dalam kedutaan mencari jika ada rakyat Malaysia di situ.



Kebiasaannya ada penuntut Malaysia berkumpul dan berbincang sementelah kedutaan menjadi medan untuk mereka bertemu. Namun pada hari itu seperti tahu-tahu mara bahaya akan menjelma, ruang dalam kedutaan kosong tanpa penghuni.



Yang ada cuma dua pengawal keselamatan warga Indonesia. Bayangkan jika kumpulan warga Malaysia ada ketika kejadian, apa agaknya akan terjadi.



Mampukah dua pengawal keselamatan mengawal keadaan daripada sekumpulan perusuh yang tidak diketahui apa niat atau setakat mana keberanian mereka untuk betul-betul mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia.



Di sebalik, kekecohan kononnya Malaysia tidak habis-habis cari pasal dengan kerajaan Indonesia, semalam sekumpulan amah warga negara itu tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Mereka kumpulan kedua amah yang mahu mencari rezeki di Malaysia selepas pembekuan ditarik balik. Biar pun yang tiba hari ini hanya empat orang tambahan kepada kumpulan pertama 29 amah yang sampai awal bulan ini, jika mampu dihitung terdapat beratus ribu warga Indonesia berkhidmat di Malaysia. Ramai juga yang bekerja tanpa permit disebabkan terlalu banyak birokrasi diwujudkan kerajaan negara mereka sendiri sebelum ini.



Apabila membandingkan dua senario - tindakan baling najis, telur busuk, batu besar, bakar bendera dan pelbagai lagi kedutaan Malaysia di Jakarta dan kehadiran amah-amah dari negara itu ke sini untuk mencari sesuap nasi - tidak diketahui apa sebenarnya yang merasuk kumpulan perusuh di Indonesia.



Lebih menimbulkan persoalan, serangan berbaur keganasan itu hanya disebabkan perkara-perkara ‘ringan’ bersangkutan kebudayaan seperti lagu, makanan, perkataan yang hakikatnya boleh disepakati menerusi rundingan dan perbincangan.



Tidak diketahui sampai bila hubungan ‘benci tapi rindu’ antara Kuala Lumpur dan Jakarta akan berlarutan atau sememangnya telah ditakdirkan negara serumpun itu selamanya akan melalui hubungan sebegitu.



Ini kerana kedua-dua negara saling memerlukan baik dari segi keperluan tenaga kerja asing, perkongsian sempadan, tuntutan bertindih malah dalam banyak hal ada ‘titisan’ darah yang mengikat Malaysia dan Indonesia.



Ramai anak Indonesia lahir di Malaysia, ramai juga anak Malaysia lahir di negara jiran lantaran hubungan cinta tidak mengenal sempadan. Perasaan untuk jatuh cinta juga tidak boleh dibendung dek rasa benci sekumpulan kecil rakyat yang tidak pernah mahu mengiktiraf bahawa Malaysia adalah jiran mereka.



Sebab itu, ada rakyat negara ini lari ke Lombok semata-mata mengikut kekasih dan berkahwin di sana sehingga melahirkan zuriat. Begitu juga ada lelaki Indonesia ‘tersesat’ di Malaysia lantas mengahwini wanita tempatan kerana keserasian, kesesuaian dan budaya hidup yang lebih 90 peratus serupa.



Adakah zuriat campuran darah Malaysia-Indonesia ini akan terus disajikan dengan berita-berita pertikaian kebanyakannya tentang perkara ‘ringan’ antara kedua-dua negara. Atau pun selepas ini akan ada isu yang lebih besar yang boleh mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara sehingga menimbulkan dilema kepada generasi baru itu yang mana satu untuk ditumpahkan taat dan setia mereka.



Teringat seorang rakan yang ibu bapanya berhijrah ke Malaysia kira-kira 40 tahun lalu. Biar pun dia dilahirkan di Indonesia, dia begitu berhati-hati apabila memperkatakan tentang tanah airnya. Ibu bapanya kekal berbahasa Indonesia sehingga ke akhir hayat. Adiknya dilahirkan di sini, dan mereka berbangga kerana akhirnya menjadi rakyat Malaysia. Pernah dia bercerita betapa mereka terpaksa bekerja keras untuk ‘berjaya’.



Tidak pernah ada rungutan sepanjang mereka sekeluarga menumpang hidup di bumi bertuah ini. Biar pun sering dipandang sebagai pendatang, namun teman-teman sekeliling jarang sekali menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menyentuh hati mereka sekeluarga. Dia juga berusaha tidak membangkitkan apa juga isu berkaitan Malaysia dan Indonesia, kerana baginya biar pun Indonesia tanah tempat dia dan ibu bapanya dilahirkan tetapi mereka berjaya kerana mendapat peluang dan diberi ruang di Malaysia.



Namun, saya percaya jauh di sudut hati mereka tersemat bahawa Indonesia adalah tanah air mereka selama-lamanya. Tetapi rasa hormat dan penghargaan terhadap negara jiran yang banyak berbudi kepada mereka sekeluarga menyebabkan perasaan itu disimpan rapi.



Tentunya banyak lagi darah campuran Malaysia-Indonesia yang mahu rakyat kedua-dua negara hidup harmoni. Apa juga isu mesti ditangani secara diplomatik dan bukannya menerusi telur busuk, batu atau najis. Lantaran terputusnya jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara, yang menanggung akibat dan kesannya adalah rakyat.

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:

Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook