Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Menunggu Ketua Setiausaha Negara wanita pertama

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Menunggu Ketua Setiausaha Negara wanita pertama



APABILA bercakap tentang jawatan-jawatan tinggi baik di sektor awam mahu pun swasta, ramai yang melihat peluang untuk wanita agak terbatas.

Bukan itu saja, banyak juga pandangan kononnya wanita sememangnya tidak layak ke jawatan tersebut, misalnya menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

Sememangnya percaturan untuk wanita berada di kedudukan tersebut amat berliku. Atau boleh juga dikatakan perlu melepasi pelbagai duri dan ranjau.

Bukan soal memiliki sekeping atau berkeping-keping ijazah, sarjana mahu pun kedoktoran yang tidak melayakkan wanita untuk ‘terbang tinggi’ tetapi mungkin lebih kepada persepsi dan keterbatasan rasa percaya terhadap keupayaan kaum Hawa.

Setakat ini, paling jauh wanita di Malaysia mendaki tangga kerjaya adalah sebagai menteri. Untuk mengimpikan 30 peratus wanita dalam kalangan pembuat dasar, masih jauh untuk digapai.

Mutakhir, hanya seorang menteri wanita - Datuk Seri Ng Yen Yen ada dalam senarai Kabinet. Memegang portfolio pelancongan menjadikan Yen Yen satu-satunya wanita di peringkat menteri setelah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan berikutan tamatnya tempoh senator beliau. Di peringkat timbalan menteri pula, tujuh daripada 40 yang dilantik adalah wanita.

Angka itu menjadikan sasaran 30 peratus sebagai pembuat dasar masih terlalu jauh, belum dihitung kekurangan wanita peringkat tersebut di sektor swasta.

Mungkin untuk meletakkan wanita sebagai perdana menteri tidak dapat diterjemahkan dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin juga 50 tahun lagi. Begitu juga dengan jawatan timbalan perdana menteri. Tapi apa salahnya jika diambil kira pelantikan wanita untuk jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Sekurang-kurang wanita diberi mandat serta kepercayaan untuk menduduki jawatan tertinggi dalam sektor awam yang selama ini dipelopori kaum lelaki.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, 13 KSN yang dilantik ialah lelaki.

Ada disebut-sebut nama Datuk Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ke jawatan itu tetapi tidak diketahui apakah halangannya. Begitu juga beberapa nama lain menyebabkan jawatan KSN masih kekal milik lelaki biar pun ada keterujaan untuk melihat KSN ke-13 adalah wanita.

Namun ternyata impian masih tinggal impian dan terpaksa menunggu mungkin sekurang-kurangnya enam tahun lagi sama ada akan ada KSN wanita atau sebaliknya. Sememangnya jawatan KSN amat penting dan mencabar kredibiliti wanita sebagai pembuat dasar, penasihat kepada perdana menteri dan paling kritikal menjadi penentu hala tuju perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.

Ukuran dan perbandingan boleh dibuat terhadap prestasi 12 KSN terdahulu dalam menterjemahkan peranan mereka untuk meletakkan sektor awam di tempat yang sepatutnya.

Bermula dengan Tun Abdul Aziz Majid yang menjadi KSN untuk tempoh Ogos 1957 hingga Ogos 1964 sehinggalah Mohd. Sidek - apakah perkhidmatan awam telah mencapai matlamat atau piagamnya atau masih sederhana pencapaian atau teraba-raba mencari arah.

Jawatan KSN itu sendiri amat tinggi nilainya. Setiap KSN membawa imej perkhidmatan awam - sebab itu ada KSN yang namanya masih diingat sampai sekarang seperti Tun Ahmad Sarji yang penarafan bintangnya bergemerlapan kerana kecemerlangan sektor awam ketika itu. Begitu juga dengan nama Tan Sri Abdullah Ayub yang sehingga kini disebut-sebut sebagai amat sinonim dengan sektor awam.

Lebih daripada itu, KSN juga membawa imej kepimpinan nombor satu negara. Jika perkhidmatan yang disampaikan kakitangan awam berjaya memuaskan hati orang ramai yang berurusan, maka ia mencerminkan nama baik seluruh jentera perkhidmatan awam termasuk perdana menteri sendiri.

Apa salahnya jika wanita diberi peluang serta ruang untuk menjadi KSN ke-14, dan lihat sejauh mana peranan yang dapat dimainkan terutamanya dalam mencorakkan perkhidmatan awam ke arah satu aras yang boleh dibanggakan.

Apa pun tahniah kepada Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Ali Hamsa kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai KSN ke-13. Ketika menerima panggilan selepas beliau ditemuramah Utusan Malaysia secara ringkas di pejabatnya lewat petang semalam, Ali Hamsa berpesan: ‘‘Jangan tulis apa-apa dulu, kerana pelantikan saya belum berkuatkuasa lagi. Tan Sri Mohd. Sidek Hassan masih lagi KSN kita.’’

Puas dipujuk, akhirnya beliau memberi izin untuk komen ringkasnya disiarkan.

‘‘Saya bersyukur dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang amat besar itu,’’ katanya.

Hakikatnya, perkhidmatan awam yang dianggotai lebih sejuta kakitangan perlu sentiasa bernafas, bukan nafas yang semput atau adakalanya memerlukan bantuan lain. Sebaliknya nafas yang sentiasa segar dan dinamik selaras dengan tuntutan perubahan semasa yang adakalanya tidak dapat dipenuhi jika kakitangannya gagal mengubah minda untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:

Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook