Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Antara panda dan sistem pengairan tertua di dunia

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Antara panda dan sistem pengairan tertua di dunia

19 September 2011 - Hari ke-5 di China dan hari ke-2 di Chengdu.
Program lawatan kami di Chengdu diteruskan lagi hari ini dengan mengunjungi Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Chengdu untuk melihat usaha-usaha konservasi beruang Panda yang sungguh sinonim dengan masyarakat negara China.
Inilah kali pertama saya melihat Panda dengan mata sendiri, walaupun bukan di habitat sebenar, tetapi dalam persekitaran yang cukup selesa untuk mereka.
Pusat ini memiliki sebanyak 108 ekor beruang Panda yang mana 70 daripadanya tinggal di pusat itu manakala selebihnya ditempatkan di zoo-zoo di merata tempat.
Kajian mengatakan Panda sebenarnya adalah binatang yang hidup sejak zaman dinasour hinggakan dianggap sebagai "fosil yang masih hidup", tetapi kini diancam kepupusan.
Menurut kajian pada tahun 2004, dianggarkan terdapat hanya 1600 panda yang masih wujud di dunia ini dan hidup liar di habitatnya.
Usaha kerajaan China menubuhkan pusat penyelidikan ini amat wajar sekali untuk mengelak binatang comel itu daripada terus terancam di sebalik pembangunan.
Saya sempat melihat anak-anak beruang panda yang baru lahir dan berusia beberapa minggu dijaga rapi dalam inkubator, kebetulan bulan Ogos hingga Oktober memang musim beruang ini melahirkan anak.
Di pusat ini juga, baru saya tahu bahawa selain beruang panda terdapat juga panda merah yang turut diancam kepupusan dan dianggarkan hanya sekitar 5000 ekor masih hidup di dunia ini.
Bagaimanapun panda merah bukanlah spesis beruang tetapi sebaliknya lebih kepada rakun, namun ia masih berkait rapat dengan beruang panda. Ia juga dikategorikan sebagai "fosil yang masih hidup" dan turut menjadikan buluh sebagai makanan utamanya.
Kesedaran kita terhadap haiwan-haiwan yang sangat unik ini adalah sangat penting kerana mereka juga punya hak ke atas bumi yang kita diami ini.
Pada sebelah petang, kami ke projek sistem pengairan Dujiangyan yang merupakan satu lagi lambang kehebatan dan keagungan tamadun China yang wujud hingga ke hari ini.
Ia adalah sistem pengairan yang dibina di sungai Min pada tahun 256 Sebelum Masehi. Itu adalah 2,267 tahun yang lalu!
Bila difikir-fikirkan, saya memang terasa amat kagum dengan Pemerintah Qin iaitu Li Bing yang menjadi jurutera kepada pembinaan sistem itu. Bayangkan bagaimana beliau boleh terfikir untuk menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk di waktu itu dan pada masa yang sama mengairi kawasan sekitar Chengdu sekaligus menaikkan nilai ekonomi melalui kegiatan pertanian.

Menerusi sistem itu, aliran sungai Min dipecahkan kepada dua bahagian iaitu luar dan dalam dengan cara membina daik di tengah-tengahnya menggunakan batu-batu yang diisi ke dalam bekas raga panjang diperbuat daripada buluh serta diteguhkan menggunakan batang pokok yang di susun menjadi seperti bentuk piramid kaki tiga.
Di musim kering, air akan mengalirkan sepenuhnya ke sungai bahagian dalam yang kemudian masuk ke rangkaian terusan yang kompleks untuk mengairi kawasan pertanian. Manakala sewaktu musim banjir, air akan secara automatik dilimpahkan ke sungai bahagian luar yang merupakan sungai asal yang kemudian mengalir ke sungai Yangtze.
Sistem itu direka dengan sangat baik sehinggakan pasir dan batu-batu yang hanyut semasa banjir tidak akan mendap ke dalam sungai bahagian dalam hingga mencetekkan dasarnya. Sebaliknya 95 peratus pasir dan batu akan hanyut dengan sendiri ke sungai bahagian luar melalui tiga peringkat pengasingan yang berfungsi secara semulajadi.

Tiga peringkat tersebut ialah Yuzui Water Diversion Embankment, Feishayan Spillway dan Baopingkou Water Innet.

Pembinaan sungai bahagian dalam juga menunjukkan kepintaran kejuruteraan kerana laluannya yang merentasi gunung. Bayangkan bagaimana hendak memecahkan batu-batu gunung pada zaman di mana bahan peletup belum wujud lagi.
Li Bing mengambil masa hingga lapan tahun untuk menyiapkan terusan selebar 20 meter merentasi gunung dengan cara membakar batu-batu itu dan menyiramnya dengan air berulang-ulang sehingga ia pecah.
Mungkin tanpa sistem pengairan Dujiangyan ini, Chengdu tidak akan maju seperti hari ini, malah mungkin juga dilanda banjir pada setiap tahun.
Keunikannya diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia dan merupakan sistem pengairan tertua di dunia yang masih digunakan sehingga kini.
Kekaguman kepada kebijaksanaan orang di masa dahulu menaikkan semangat kita untuk memberi sumbangan yang terbaik untuk generasi masa akan datang, contohnya dengan memastikan kelangsungan hidup beruang panda dan panda merah.
Dari pintu kunci air sistem pengairan Dujiangyan, kami naik buggy elektrik untuk ke bahagian kedua dan ketiga sistem itu yang berfungsi untuk mengumpulkan lebihan pasir dan batu yang hanyut dari bahagian pertama.
Di situ juga terletak bahagian gunung yang dibelah dua untuk memberi laluan kepada sungai bahagian dalam.
Kemudian dari situ kami berjalan kaki menerusi kawasan taman dan tiba di pintu masuk taman dan kompleks sistem pengairan itu yang terletak di pinggir bandar Dujiangyan.
Di kawasan itu, di sepanjang pinggir sungai bahagian dalam penuh dengan kedai-kedai dan restoran yang menjadi tumpuan pelancong. Kami dipesan supaya berhati-hati sebab orang di situ akan memujuk dan menarik para pelancong masuk ke kedai mereka untuk makan.
Malam itu kami makan malam di sebuah restoran di tepi sungai berhampiran sebuah jambatan yang dihiasi lampu-lampu cantik. Rasanya semua jambatan di kawasan itu dihias cantik dan cerah dengan lampu-lampu, sampaikan air sungai yang deras itu juga tidak lupa di suluh dengan lampu hijau biru.
Tidak adakah tempat seperti ini di Malaysia?

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:


Komen
Tiada komen dihantar.
Hantar Komen
Sila daftar masuk terlebih dahulu untuk memberi komen. Klik disini untuk login.
Ratings
Rating is available to Members only.

Please login or register to vote.

No Ratings have been Posted.
Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook