Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Menghargai kedamaian dan memuji kesenian Nanjing

Masuk
Nama

Kata Laluan



Anda bukan ahli xtive?
Klik disini untuk mendaftar.

Terlupa kata laluan?
Minta semula DISINI.
Muka Hadapan


Menghargai kedamaian dan memuji kesenian Nanjing

23 September 2011 - Hari ke-9 di China dan hari ke-3 di Nanjing.
Di sebalik keagungan Nanjing sebagai ibukota di masa lampau, ia juga menyimpan sejarah hitam yang amat sukar dilupakan oleh orang-orang di sini. Semasa era perang dunia kedua, Nanjing telah diserang oleh tentera Jepun yang membawa kepada peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang sehingga kini masih menjadi kontroversi.
Titik hitam dalam sejarah Nanjing itu diabadikan dalam bentuk sebuah memorial besar yang menjadi destinasi kami seterusnya, yang menceritakan tentang apa yang sebenarnya terjadi di Nanjing antara 13 Disember 1937 hingga Januari 1938. Dewan Memorial Mangsa Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing itu dibina di atas tapak penemuan salah satu lokasi kubur beramai-ramai mangsa.

Pada waktu itu, hanya dalam tempoh enam minggu, seramai 300,000 tentera dan orang awam Nanjing tidak kira wanita, warga tua atau kanak-kanak dibunuh kejam oleh tentera-tentera Jepun yang menyerang China. Ramai yang jadi mangsa rogol, disiksa dan juga mangsa pertandingan membunuh tentera Jepun.
Ada di antara pegawai tentera Jepun yang terlibat telah mengakui kejadian tersebut dan memohon maaf secara peribadi, namun sehingga ke hari ini tiada permohonan maaf secara rasmi dari kerajaan Jepun dikeluarkan.
Xia Shuqin adalah salah seorang yang terselamat dalam kejadian itu yang berlaku sewaktu beliau berumur 7 tahun. Beliau menjadi saksi hidup kepada apa yang berlaku termasuk melihat sendiri di depan mata bagaimana ahli keluarganya dibunuh oleh tentera Jepun. Xia Shuqin cedera teruk dalam kejadian itu namun dia dan seorang adiknya bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri, walaupun terpaksa hidup merana bertahun-tahun lamanya selepas itu. Apabila memorial tersebut dibina, Xia Shuqin turut berkongsi kisahnya untuk tatapan umum, malah pernah ke Jepun bersama-sama pihak memorial untuk menemui bekas-bekas tentera Jepun yang terlibat.

Mereka yang hidup di zaman itu amat mengerti sekali tentang penderitaan yang dialami akibat peperangan.
Datuk saya pernah bercerita tentang bagaimana orang-orang kampung melarikan diri dari ditangkap oleh tentera Jepun sehingga terpaksa bersembunyi di dalam lubang-lubang tanah dan di dalam sungai. Makanan yang ada pula hanyalah ubi kayu dan kelapa sahaja.
Semasa saya melawat ke memorial itu yang mempamerkan tentang peristiwa kejam yang dilakukan oleh tentera Jepun ke atas orang-orang Nanjing itu, saya teringat semula kisah-kisah yang pernah datuk ceritakan.
Di mana-mana pun, peperangan akan menyebabkan penderitaan dan satu-satunya pengajaran yang diperolehi ialah peperangan mesti dielakkan dan sebarang masalah haruslah diselesaikan dengan cara damai.
Tetapi saya risau, adakah anak-anak saya akan faham situasi itu, dan mungkin juga ramai anak generasi sekarang tidak pernah tahu tentang penderitaan akibat peperangan. Mereka perlu didedahkan dan digalakkan untuk mengunjungi muzium atau memorial seperti ini.
Di Malaysia, saya sendiri tidak pernah melawat mana-mana muzium perang. Khabarnya ada sebuah muzium perang di Pulau Pinang, tetapi saya pasti ramai yang tidak tahu mengenainya kerana mungkin tiada promosi yang cukup baik ataupun pamerannya adalah membosankan.
Berbeza sekali dengan memorial di Nanjing ini yang cukup canggih, menggunakan teknologi tinggi dan dipersembahkan dengan penuh keseniaan, serta mempunyai mesej akhir yang tepat sekali iaitu untuk mencari kedamaian.
Memorial ini dipenuhi dengan replika yang menggambarkan suasana ketika itu, koleksi foto-foto yang tidak sanggup saya siarkan di laman ini, arca dan patung yang mewakili individu yang terlibat, rakaman video mangsa yang terselamat, serta item-item yang berkaitan.
Dari segi persembahannya, ia setanding dengan muzium mangsa bom atom di Nagasaki, Jepun yang pernah saya kunjungi, tetapi jika dibandingkan dengan muzium-muzium di Malaysia, memang jauh bezanya. Di satu sudut memorial ini terdapat rekod mengenai mereka yang terlibat dan fail-fail mereka disusun mengikut abjad dari lantai ke siling dalam rak 12 meter tinggi, 20.08 meter lebar. Dipecahkan kepada 237 grid dengan 3 lapisan pada setiap grid dan menyimpan 12,802 kotak arkib. 10,000 adalah kotak arkib hitam untuk data mangsa, 2,660 kotak biru data mereka yang terselamat, 103 kotak kelabu data tentera Jepun yang menceroboh, dan 39 lagi kotak data pegawai-pegawai asing yang membantu melindungi orang China sewaktu peristiwa tersebut.
Sewajarnya pegawai-pegawai muzium dan pelancongan Malaysia datang ke Nanjing untuk menilai dan mempelajari tentang bagaimana untuk mewujudkan muzium atau memorial yang sehebat ini.
Dalam hati kecil, saya berkata, kalaulah saya kaya, ingin sekali saya wujudkan sebuah muzium untuk menceritakan tentang zaman perang dahulu.
Seperti kisah nenek Xia Shuqin yang terselamat dan ceritanya diabadikan di memorial itu, mungkin saya juga boleh memuatkan kisah datuk saya untuk tatapan umum bersama ratusan lagi cerita-cerita yang lebih tragis sebelum ia hilang bersama hayat mereka yang pernah melalui era tersebut.
Agar nanti dapatlah anak-anak saya bercerita kepada anak cucu mereka pula tentang betapa peperangan itu amat menderitakan dan mesti dielak. Apa yang penting, mereka tahu menghargai kedamaian.
Lawatan kami ke memorial itu berakhir dengan pertemuan bersama Xia Shuqin yang diaturkan khas oleh pihak memorial itu untuk kami. Terasa terharu pula bila dapat bergambar dengan orang yang boleh dianggap sebagai hero itu.
Namun beliau hanyalah insan biasa yang inginkan kedamaian dan sudah memaafkan apa yang berlaku. Sewaktu keluar dari memorial, saya lihat Xia Shuqin berjalan kaki ditemani anak perempuannya untuk pulang ke rumah.

Dari memorial, kami melintas jalan untuk ke destinasi yang seterusnya yang juga cukup menarik, iaitu Nanjing Brocade Museum yang asalnya sebuah kilang menenun kain sutera secara tradisional yang menghasilkan kain-kain tenun berkualiti tinggi yang dahulunya hanya dikhaskan untuk maharaja-maharaja sahaja.
Kain sutera tenun Nanjing mempunyai sejarah lebih 1,500 tahun dan dianggap sebagai "fosil hidup" legasi kebudayaan China. Teknologi pembuatannya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana mesin yang wujud pada hari ini.

Alat menenunnya lebih kompleks daripada yang alat tenun yang lain dan memerlukan dua tenaga manusia untuk mengendalikannya. Kedua-dua pengendali itu biasanya adalah suami isteri dengan alasan suami isteri mempunyai persefahaman yang mendalam antara satu sama lain. Salah seorang akan berada di bahagian atas alat tenun ini manakala seorang lagi berada di bahagian bawah, dan mereka akan menenun mengikut corak yang telah dihafal dalam ingatan mereka.
Kain tenun ini menjadi hadiah paling bernilai daripada maharaja China kepada raja-raja dan menteri-menteri luar negara. Di satu sudut muzium ini, pasangan-pasangan penenun bekerja keras menenun kain secara "live" seperti keadaan sebenar. Dalam sehari, biasanya mereka akan berjaya menenun sehingga 10cm sahaja, dan secara tradisionalnya sehelai kain adalah sepanjang 50 hingga 70 meter. Bayangkan berapa lama masa diperlukan untuk menyiapkan sehelai kain! Satu perkara lain yang menarik ialah muzium ini juga berfungsi sebagai sebuah institut yang mengkhusus kepada penyelidikan dan pembangunan berkaitan tenunan kain.

Pada sebelah petang kami melawat ke sebuah lagi muzium dalam taman Zhongshan yang mempamerkan warisan senibina kubur Xiaoling dari dinasti Ming yang menjadi tempat persemadian Zhu Yuan Zhang. Ia menjadi refleksi kepada seorang maharaja yang hebat dan keunikan ideanya dalam membina makam-makam diraja yang kemudiannya menjadi ikutan dalam dinasti Ming dan Qing, dan kini menjadi tapak-tapak warisan kebudayaan dunia.

Dari situ kami ke sebuah panggung terbuka di mana sedang berlangsungnya raptai Majlis Pembukaan Festival Kebudayaan dan Pelancongan Nanjing dan kemudian menemubual Pengarah Biro Pentadbiran Kebudayaan dan Pelancongan Nanjing tentang aktiviti-aktiviti yang sedang berlangsung di bandar raya itu. Festival itu juga berlangsung sempena ulang tahun ke-100 revolusi China.

Berhampiran tempat itu juga adalah destinasi lawatan kami seterusnya iaitu Makam Dr. Sun Yat-sen.
Dr. Sun Yat-sen merupakan tokoh yang terkenal di China dengan ideologi pembaharuan yang dibawa serta sumbangannya kepada negara China pada hari ini, dan dianggap sebagai "Bapa Republik China". Beliau bertanggungjawab menamatkan era monarki di China pada 1911.

Kompleks makam itu dibina di lereng bukit yang merangkumi 392 anak tangga dan beberapa kawasan mendatar. Semasa mendaki, kita hanya akan nampak anak-anak tangga sahaja, manakala dari atas melihat ke bawah, kita hanya akan nampak kawasan yang mendatar sahaja.
Ia merupakan simbolik kepada falsafah Dr. Sun Yat-sen bahawa semasa kita berusaha mendaki ke puncak cita-cita, kita harus berusaha keras tanpa melihat kepada kesenangan, tetapi apabila kita tiba di puncak kejayaan, kita akan lihat semuanya adalah kesenangan dan tidak nampak lagi kesusahan yang telah dilalui.
Kunjungan kami ke Nanjing berakhir pada malam itu dengan sesi membeli-belah di kawasan tumpuan pelancong "Confucius Temple" iaitu kawasan sekitar tempat kami menonton persembahan kebudayaan di pentas atas air malam sebelumnya.
Namun dalam masa membeli-belah itu, kami masih sempat dibawa melawat ke Jiangnan Gongyuan atau "the Place of Imperial Examination" yang berada di kawasan itu. Ia merupakan sebahagian daripada tinggalan warisan silam empayar China. Pada waktu dahulu, sesiapa yang hendak bekerja dengan kerajaan diwajibkan melalui peperiksaan khas yang dijalankan di situ. Mereka yang mengambil peperiksaan itu tidak kira tua atau muda akan diberi bilik kecil tempat menjawab soalan yang juga menjadi bilik tidur mereka sepanjang musim peperiksaan berlangsung.

Bilik kecil itu hanya ada dua keping papan, satu papan tempat duduk dan satu lagi papan sebagai meja tempat menulis dan boleh diubahkan untuk membesarkan tempat duduk menjadi tempat tidur pada sebelah malam.
Biasanya ahli keluarga masing-masing akan menghantar bekalan makanan pada setiap hari memandangkan mereka hanya tinggal bersendirian dan tidak boleh kemana-mana kecuali ke tandas, dan itupun dengan diiringi oleh pengawas peperiksaan.
Peperiksaan itu sangat penting dan menjadi rebutan kerana mereka yang berjaya mendapat markah tertinggi akan dirai dalam perarakan khas dan diberi jawatan yang tertinggi dalam kerajaan.

Share This News
AddThis:
URL:
BBcode:
HTML:
Facebook Like:


Komen
Tiada komen dihantar.
Hantar Komen
Sila daftar masuk terlebih dahulu untuk memberi komen. Klik disini untuk login.
Ratings
Rating is available to Members only.

Please login or register to vote.

No Ratings have been Posted.
Waktu Solat
Iklan @ Utusan
Bancian Terkini
-
Percubaan
1
2
3


Lihat Keputusan
Iklan @ Utusan
Iklan @ Utusan
Facebook
Utusan Online on Facebook